Anggota penguatkuasaan MBPP memasang pita arahan larangan memasuki kawasan Pasar Pulau Tikus di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Pasar Pulau Tikus dan Tapak Penjaja Sementara (TPS) di hadapannya ditutup serta-merta hari ini selepas 19 peniaga di kawasan itu disahkan positif Covid-19.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, arahan penutupan itu melibatkan 113 gerai di Pasar Pulau Tikus manakala 34 gerai TPS.

Jelasnya, penutupan tapak perniagaan itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi dilakukan di tapak terlibat.

“Penutupan dua tapak berkenaan berkuatkuasa hari ini sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut melekatkan notis penutupan di Pasar Pulau Tikus hari ini.

“Sehubungan itu, MBPP menyeru peniaga-peniaga untuk mematuhi arahan penutupan sementara ini

“Tindakan akan diambil ke atas sesiapa yang melanggari arahan berkenaan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, termasuk penutupan premis dan pembatalan lesen,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, orang ramai dinasihati supaya mematuhi SOP pada setiap masa dan mengelakkan diri daripada jangkitan Covid-19 terutamanya melalui komuniti.

Untuk rekod Pulau Pinang mencatatkan 955 kes Covid-19 dan 31 kematian semalam. – MalaysiaGazette