Ayob Khan menunjukkan sebahagian barang rampasan hasil kejayaan JSJ D7 IPD JBS.

JOHOR BAHRU – Tujuh operator tambah nilai dan cuci kredit yang menjadikan sebuah pangsapuri di kawasan Persiaran Southkey sebagai lokasi pusat judi dalam talian berjaya dicekup polis Johor dalam satu serbuan pada Khamis baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan warga tempatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang ditahan berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi dalam talian dan mempunyai kira-kira 7,000 pelanggan.

“Hasil siasatan mendapati mereka mampu mendapat kutipan harian antara RM15,000 hingga RM20,000.

“Premis ini telah dijadikan pusat judi dalam talian dengan sasaran pelanggan tempatan sejak empat bulan lalu,” katanya dalam sidang media mengenai kejayaan polis Johor Bahagian Siasatan Jenayah Cawangan D7 Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) di sini.

Menurut Ayob, pusat judi itu menggunakan dua laman sesawang seperti www.topup999.com dan www.lagiong.com untuk membolehkan pelanggan menyertai permainan judi dalam talian.

Semua yang ditangkap kberusia antara 18 hingga 34 tahun kini telah pun ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Gaji yang dibayar antara RM2000 sebulan dan mereka diberi komisen satu peratus.

“Semakan mendapati semua akaun bank digunakan adalah akaun Malaysia,” katanya.

Dalam serbuan itu turut dirampas enam buah set komputer, 35 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua buah modem wi-fi termasuk serangkai kunci rumah.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4 (1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosikan perjudian dan talian dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM5,000 dan RM50,000 serta penjara maksimum tiga tahun.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai kegiatan perjudian dalam talian di balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis di talian 07 221 2999 atau 07 225 4677. -MalaysiaGazette