Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang guru kelas bimbingan institusi pendidikan swasta yang mendedahkan kod pengaktifan transaksi (TAC) kepada individu yang menyamar sebagai pegawai bank menerusi panggilan telefon menyebabkan dia kerugian RM57,850.

Mangsa, 57, terjerat dengan perangkap ‘pegawai bank’ menerusi pembelian e-dagang yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa telah menerima pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan pengesahan tentang pembelian melalui platform e-dagang berjumlah RM3,800 pada 22 September lalu.

“Mangsa telah menafikan membuat pembelian tersebut dan telah menghubungi ‘pegawai bank’ melalui satu nombor telefon yang diberikan dalam mesej tersebut.

“‘Pegawai bank’ yang telah dihubungi mangsa telah meminta pengadu untuk mendedahkan maklumat akaun bank dan kod keselamatan Transaction Activation Code (TAC) kepadanya.

“Mangsa tanpa menyedari dirinya diperangkap telah menuruti arahan daripada ‘pegawai bank’ tersebut untuk tujuan siasatan lanjut oleh bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pengadu kemudian membuat laporan polis pada 24 September 2021 di Balai Polis Sentul setelah menyedari dirinya ditipu apabila menyedari terdapat transaksi pindahan wang dari akaun miliknya kepada tiga akaun milik pihak ketiga dan juga pindahan kepada akaun e-wallet Touch n Go.

Menurut beliau, mangsa mengalami kerugian wang berjumlah RM 57,850 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pihak polis pada masa yang sama menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima pesanan ringkas daripada pihak bank.

“Tindakan menyalurkan maklumat perbankan dan kod keselamatan TAC kepada pihak ketiga akan menyebabkan akaun perbankan terdedah kepada penggunaan tidak sah,” ujarnya.

Orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 0585 atau mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat mengenai jenayah atau aktiviti yang mencurigakan. – MalaysiaGazette