Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2021.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini menetapkan cadangan membuka sempadan negara perlu diperhalusi terlebih dahulu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu diambil kerajaan kerana ia akan membawa kesan besar kepada negara.

“Soal isu pembukaan sempadan kita, ini pun saya bangkitkan tadi dan ada respon ini sedang diperhalusi oleh menteri-menteri yang terlibat untuk membincangkan dalam minggu ini juga apakah kewajarannya supaya sempadan negeri kita dibuka untuk membolehkan Malaysia dan orang-orang kita pergi keluar negeri di mana yang diterima disebabkan mereka sudah diberikan suntikan vaksin yang lengkap.

“Samada sempadan akan dibuka untuk membolehkan pelawat peniaga dan usahawan, pelancong datang ke negara kita, salah satu daripada keputusan yang saya fikir akan membawa kesan yang besar kepada negara kita,” katanya dalam sidang media MPN hari ini.

Mesyuarat kali ketiga ini turut dihadiri beberapa Menteri Kanan Persekutuan antaranya Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Jelas Muhyiddin, segala keputusan akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai kebenaran rentas negeri, Muhyiddin berkata, berdasarkan kepada data-data yang dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menunjukkan bahawa proses itu boleh berlaku antara pertengahan Oktober depan.

Pada taklimat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, rentas daerah yang mana hampir sebahagian besar daripada daerah yang memasuki fasa-fasa (PPN) sudah pun dibuka.

“Rentas negeri itu bersandarkan kepada data di mana kadar vaksinasi hampir 90 peratus.

“Kalau dalam maklumat tadi kemungkinan dalam bulan Oktober sama ada pada peringkat awal atau selewat-lewatnya pada pertengahan Oktober, jadi saudara boleh pergi merayau pergi mana-mana seluruh Malaysia tetapi sentiasa ingat tentang SOP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette