Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini meluluskan cadangan untuk menubuhkan majlis pemulihan di peringkat negeri.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, majlis pemulihan negeri itu diwujudkan bagi memastikan keputusan yang dibuat di peringkat pusat dapat dilaksanakan di peringkat itu.

“Majlis Pemulihan Negeri berperanan untuk memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri, memperaku strategi dan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah, dan memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah.

“Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah sedia ada akan bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan dan pemantauan inisiatif pemulihan negara di peringkat daerah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali ketiga, hari ini.

Kata Muhyiddin keputusan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan jemaah menteri untuk dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN akan menumpukan kepada pemulihan negara secara menyeluruh yang melibatkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan.

Antaranya, sektor-sektor yang perlu diberikan keutamaan dalam proses pemulihan terutamanya aktiviti ekonomi yang paling banyak memberikan sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sektor yang paling banyak menyediakan pekerjaan dan sektor yang paling terjejas akibat penularan Covid-19.

“Bantuan yang boleh disediakan kepada perniagaan, usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bangkit dan meneruskan perniagaan; masalah kemiskinan pasca pandemik dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar; dan kumpulan rentan dan bentuk bantuan yang boleh disediakan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Muhyiddin berkata,  MPN perlu ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah.

Langkah itu bagi memudahkan segala bentuk usaha pemulihan yang dilaksanakan kerajaan dapat diterima di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan dan pantas.

Jelas beliau, kepimpinan majlis berkenaan akan membentuk jawatankuasa tindakan di peringkat bawahan agar kesan pemulihan dapat dirasai rakyat bawahan. – MalaysiaGazette