Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah menunjukkan heroin yang dirampas dari sembilan individu termasuk wanita yang ditahan dalam beberapa serbuan di enam lokasi berlainan di Lembah Klang pada 20 September lalu oleh JSJN Bukit Aman.

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan percubaan satu sindiket yang cuba menyeludup dadah jenis heroin di Lembah Klang dengan tertangkapnya sembilan individu disyaki ahli sindiket itu.

Kesemua suspek, termasuk seorang wanita, merupakan warga tempatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, tangkapan dilakukan pasukan JSJN Bukit Aman yang bertindak atas maklumat dan intipan selama tiga bulan.

Katanya, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada Isnin minggu lalu.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Alam sekitar jam 1.30 tengahari 20 September lalu, polis berjaya menahan suspek lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan berjaya menemui dan merampas sebanyak 57 bungkusan dadah disyaki heroin.

“Nilai rampasan dadah seberat 30.5 kilogram itu dianggarkan berjumlah hampir mencecah RM1 juta atau lebih tepat RM910,000,” kata beliau di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Susulan tangkapan suspek dan serbuna pertama itu, menurut Ahmad Jefferi, polis berjaya melakukan enam lagi serbuan di enam lokasi berlainan di kawasan Subang Jaya, Petaling Jaya, Gombak, Brickfields dan Cheras.

Hasil serbuan di enam lokasi berkenaan, polis berjaya menahan tujuh lagi suspek lelaki dan seorang wanita tempatan, tambah beliau.

Ujarnya hasil siasatan lanjut mendapati enam daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan salah seorang daripada mereka telah dikesan positif dadah jenis methaphetamine.

‘Justeru kita juga berjaya merampas pelbagai aset disyaki milik suspek bernilai keseluruhan RM286,409 dalam serbuan sama.

“Antara barang yang dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM32,070, sembilan buah kenderaan jenis Perodua Myvi, Proton Wira, Honda City, Honda Civic, Toyota Vios dan Hilux dengan nilai keseluruhan RM205,000.

“Pada masa sama, kita turut merampas dua buah motosikal jenis Yamaha, 12 barang kemas bernilai RM17,540 dan seutas jam tangan mewah berharga RM1,500,” katanya.

Menurut Ahmad Jefferi, kesemua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama 14 hari bermula 20 September lalu sehingga 4 Oktober ini untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 kali sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahniah JSJN,perjuangan yg xde menang xde kalah xpasti sampai bila2..tp kuatkanlh semangat demi anak bangsa..Musuh sentiasa berada dicelah2 anda anggota..Sekelip mata mudah musuh mengalih arah..Selagi kuasa,nama dan harta menjadi tuhan bg mereka..Pertahankanlh sedaya upaya amanah yg dipertanggungjawabkankan utk anda krn Allah.

Comments are closed.