Pengurus Operasi Federal Power, Mohd Shamsul Shahrizan Ayop menunjukkan laporan polis mengenai pencerobohan kilang ketika di Jenjarom, Banting. Foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2021.

KUALA LANGAT – Pengendali kilang bateri, Federal Power Holdings Sdn Bhd tidak menolak kemungkinan fasiliti pemasangan bateri solar itu yang diceroboh semalam dipercayai mempunyai unsur khianat daripada pihak tertentu.

Pengurus Operasinya, Mohd Shamsul Shahrizan Ayop berkata, pencerobohan itu menyebabkan pintu belakang kilang tersebut dipecah masuk dipercayai berlaku selepas insiden bantahan penduduk di hadapan kilang bateri tersebut sejak Jumaat lalu.

“Kira-kira 9 pagi ini, pengawal keselamatan kilang kami telah membuat rondaan dan mendapati pintu di bahagian belakang kilang ini telah dipecah masuk. Susulan kejadian itu, kami telah membuat laporan polis.

“Pihak polis dari Balai Polis Sungai Jarom dan Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di pejabatnya di Jenjarom, hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette ke kilang bateri solar itu mendapati, pintu belakang bukan sahaja dipecah bahkan ia sudah tercabut dan jatuh ke dalam longkang hingga mendedahkan kilang itu dan boleh diakses oleh penjenayah.

Berdasarkan pemerhatian awal, Mohd Shamsul juga tidak menolak kemungkinan pintu belakang kilang itu dipecahkan menggunakan pemotong besi kerana mempunyai kesan potongan.

“Bukan sahaja pintu dipecahkan bahkan kunci mangga juga cuba dipotong penjenayah.

“Kami belum mengesyaki mana-mana pihak kerana kami belum mendapat apa-apa bukti, kita serah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Kilang bateri di Jenjarom menjadi tumpuan penduduk setempat apabila Federal Power mengambil alih kilang yang pernah mencetuskan kontroversi pada 2017 kerana masalah pencemaran air dan udara akibat kebocoran plumbum dan asid. – MalaysiaGazette