Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, tiada kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang Lembaga Tabung Haji (LTH).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shary berkata, ini termasuklah ke atas mantan Pengerusi LTH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).

“Setakat ini, saya boleh mengesahkan tidak ada sebarang kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang LTH termasuk ke atas Abdul Azeez sepertimana sering kedengaran tuduhan mengaitkannya sebelum ini,” katanya.

Katanya demikian menjawab soalan Abdul Azeez  yang bertanyakan status terkini RCI dalam menyiasat isu melibatkan pengurusan dan operasi LTH dan skop siasatan dilaksanakan, dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan, kerajaan bersetuju mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memberi tumpuan kepada isu berkaitan dengan LTH yang berlaku antara 2014 hingga 2020.

Kata Ahmad Marzuk, ketika ini memorandum bagi membincangkan operasi pelaksanaan RCI telah disedia dan diedarkan kepada Jemaah Menteri.

“Memorandum itu meliputi keahlian RCI, aspek pengoperasian, pentadbiran dan logistik melibatkan pengurusan suruhanjaya itu.

“Ini termasuk aspek tadbir urus, integriti dan reputasi LTH sebagai institusi simpanan kewangan Islam. Ia sangat penting bagi memastikan kedudukan kewangan LTH lebih kukuh dan stabil.

“Kerajaan juga mahu memastikan ianya menjamin dan memelihara kepentingan pendeposit serta jemaah haji sebagaimana termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995, simpanan pendeposit kekal selamat dan terjamin oleh kerajaan,” katanya.

Mengenai RCI juga, beliau berkata, mesyuarat Kabinet semalam memutuskan urusan itu akan diurus selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, menteri berkenaan dijangka memutuskan terma dan syaratnya dalam masa terdekat ini.

“Kita berharap, hasil siasatan dan pandangan dari RCI ini kelak dapat membantu LTH menambahbaik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas), katanya, kerajaan baharu sekarang ini dalam usaha untuk menyelesaikan beberapa kerja yang tidak selesai, yang ditinggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga akhir Februari 2020. – MalaysiaGazette