Tong Keong menunjukkan tanah ‘bayaran’ bagi projek terowong kini dibina kondominium mewah.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu terowong dasar laut yang mungkin akan digantikan dengan jambatan yang merentasi Selat Pulau Pinang.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow perlu menjelaskan mengapakah konsortium yang bertanggungjawab dalam projek terowong dasar laut itu mencadangkan untuk mengantikan terowong dasar laut dengan pembinaan jambatan sepanjang lima kilometer.

Kata beliau, sekiranya dakwaan pembinaan jambatan itu betul, bagaimana kerajaan negeri mahu mengambil semula tanah yang telah diberikan kepada pihak konsortium sebagai satu pembayaran kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut berkenaan.

Oh Tong Keong.

“10 tahun sudah berlalu, mengapakah sekarang baru kerajaan negeri memberitahu rakyat Pulau Pinang bahawa pembinaan jambatan lebih sesuai daripada membina terowong dasar laut sedangkan mereka telahpun membelanjakan RM305 juta untuk kajian kebolehlaksanaan projek itu?

“Adakah kerajaan negeri mahu memberi alasan dalam tempoh lama itu baru mereka dan pemaju kenal pasti pembinaan jambatan adalah lebih efektif dari segi kos dan lebih mesra alam berbanding dengan terowong dasar laut?” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Gerakan di Jalan Macalister di sini, hari ini.

Tambah Tong Keong, timbul juga persoalan  bagaimana kerajaan negeri mahu mengambil semula tanah ‘bayaran’ dan wang yang telah dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan bagi pihak rakyat Pulau Pinang?

Kata beliau, lebih mengelirukan apabila tanah ‘bayaran’ yang telah diberikan kepada konsortium itu kini dibina kondominium mewah bernilai jutaan ringgit.

“Bila ada kondominum baru mereka nak cakap projek pembinaan terowong mungkin akan dgantikan dengan jambatan susulan kos untuk membina jambatan merentasi Selat Pulau Pinang itu RM3 bilion berbanding terowong dasar laut sebanyak RM6.3 bilion?

“Berdasarkan perkembangan terkini isu projek terowong ini, ramai berpendapat projek itu sebenarnya tidak wujud dan ini adalah satu penipuan terhadap rakyat Pulau Pinang.

“Selain itu, adakah kerajaan DAP akan mengakui projek terowong dasar laut yang dicadangkan mereka merupakan penipuan yang direka untuk meraih sokongan pengundi sedangkan ia merugikan rakyat kerana tanah tersebut telah digunakan untuk membayar kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut?,” kata Tong Keong.

Sehubungan itu, Tong Keong mendesak Kon Yeow mendedahkan isi kandungan laporan

kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada umum.

“Timbul pelbagai kekeliruan dalam isu ini jadi kita mahu mereka (kerajaan negeri) beri penjelasan agar rakyat tahu apa sebenarnya sedang berlaku.

“Kita tidak mahu rakyat negeri ini terus tertipu tanpa sebarang maklumat yang sahih,” kata beliau. – MalaysiaGazette