Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kemudahan pinjaman mudah (soft loan) untuk industri pengeluar ayam merupakan antara cadangan telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan pinjaman yang dicadangkan itu boleh membantu indusrti penternakan ayam mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dalam masa yang sama menangani isu peningkatan kos.

Bagaimanapun, Alexander tidak memaklumkan sama ada cadangan itu diterima KPDNHEP.

“Ia untuk tangani peningkatan kos komponen makanan ayam yang diimport tanpa menggangu harga ayam di pasaran,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Alexander, cadangan tersebut dikemukakan ketika libat urus yang diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan industri yang terlibat seperti Federation of Livestocks Farmers Associations of Malaysia pada 17 September lalu.

Turut dibincangkan ketika libat urus itu adalah kaedah yang boleh diguna pakai dan disesuaikan oleh KPDNHEP berdasarkan keperluan semasa.

Terdahulu Alexander berkata, pengimportan 100 peratus jagung dan soya daripada luar negara merupakan faktor utama kenaikan harga makanan ayam (dedak) sekaligus menjurus kepada peningkatan harga ayam di pasaran.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim (PKR) yang meminta KPDNHEP menjelaskan strategi bagi menstabilkan harga ayam dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

KPDNHEP, katanya, sentiasa melaksanakan langkah pemantauan kepada syarikat pengeluar ayam bagi mengesan risiko gangguan bekalan ayam dalam negara.

Sehingga hari ini, kata Alexander, sebanyak 20 syarikat pengeluar ayam dipantau.

Tambahnya, kementerian tersebut juga telah menggerakkan lebih 1,000 pegawai pemantau harga dan lebih 2,200 anggota penguatkuasa khusus untuk memantau situasi ini.

Bermula 15 hingga 22 September, sebanyak 268 premis telah diperiksa membabitkan 78 pemborong, 38 Penternak/ Pengeluar / Pengilang dan 151 Peruncit.

Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 206 Notis Bertulis semakan harga kepada pemilik premis telah dikeluarkan.-MalaysiaGazette