Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar menjelaskan pendiriannya berhubung keputusan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada sesi Parlimen kali ini.

IPCC akan menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang di perkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu dan mendapat bantahan meluas terutama dalam kalangan anggota polis.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanya adakah pembaharuan dalam IPCC  telah dibincangkan secara mendalam dan menyeluruh dengan pemegang taruh sebenar?

Katanya, IPCC wajar mendapat dukungan anggota polis kerana ia tidak akan menjadi undang-undang yang berjaya tanpa pandangan, sokongan dan penyertaan bermakna pasukan keselamatan kita.

Datuk Seri Mohamad Hasan

Soalnya lagi, adakah IPCC menterjemahkan semangat sebenar reformasi pasukan polis seperti yang diusulkan dalam Laporan Suruhanjaya Di Raja Untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan PDRM yang dipengerusikan oleh Tun Mohammad Dzaiddin Abdullah pada 2005.

“Laporan Dzaiddin tersebut telah memperincikan 125 saranan khusus untuk penambahbaikan operasi dan tatakelola sistem kepolisian kita.

“IPCMC atau IPCC adalah hanya salah satu saranan yang diusulkan. Banyak lagi saranan yang berkaitan dengan sumber manusia, kebajikan, imbangan kuasa dan pembaharuan menyeluruh yang wajar dilaksanakan bagi menjadikan sistem kepolisian kita setara dengan standard dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa kerajaan akan membentangkan RUU IPCC dalam sidang kali ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, reformasi institusi tidak mencukupi hanya sekadar penambahbaikan IPCMC kepada IPCC.

Sebaliknya, kata beliau, pasukan polis memerlukan lebih daripada itu untuk menjadi lebih berkesan dan berwibawa.

Sehubungan dengan itu, belai menyeru kerajaan membentangkan rancangan pembaharuan dan permodenan polis dengan segera.

“Pengorbanan anggota keselamatan kita sangat luar biasa dan mewajarkan kita meletakkan keutamaan pembaharuan melangkaui kod tatakelakuan segelintir aggota.

“IPCC mesti diseimbangkan dengan komitmen Kerajaan untuk memperbaiki secara menyeluruh gaji, kemajuan kerjaya, kebajikan dan peningkatan kemahiran anggota polis,” katanya.

Mohamad berkata, IPCC hanya akan mencapai matlamatnya jika ia dilaksanakan selari dengan segala pembaharuan lain yang disarankan oleh Laporan Dzaiddin.

Katanya, setelah lebih 17 tahun, Laporan Dzaiddin masih lagi tertangguh untuk dilaksanakan secara rapi dan bersepadu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast