Foto: Facebook

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Pertelagahan antara kerajaan baharu Afghanistan yang dipimpin Taliban dan kerajaan terdahulu pada perhimpunan tahunan pemimpin dunia di PBB menyaksikan tiada ucapan disampaikan oleh negara itu.

Taliban mencabar tauliah duta kerajaan Afghanistan terdahulu dan mahu kumpulan itu mewakili negara tersebut pada sidang kemuncak perhimpunan agung pada tahun ini yang bermula 21 September lalu hingga semalam, lapor AP.

Bagaimanapun semua cabaran mengenai pentauliahan itu perlu didengar jawatankuasa pentauliahan perhimpunan tersebut yang pada kebiasaannya bertemu pada November.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, sehingga Jumaat lalu, Duta Afghanistan yang diiktiraf PBB, Ghulam Isaczai disenaraikan untuk berucap untuk negara itu.

Isaczai mewakili kerajaan terdahulu yang dipimpin Presiden Ashraf Ghani.

Bagaimanapun, Dujarric memberitahu The Associated Press pada pagi Isnin: “Kami dimaklumkan oleh utusan Afghanistan pada Sabtu bahawa mereka tidak akan berucap,”.

Wakil Afghanistan dijadualkan berucap pada perhimpunan presiden, perdana menteri, raja dan menteri pada petang semalam namun tiada nama individu yang akan menyampaikan ucapan disenaraikan pada pagi Isnin.

Kumpulan Taliban menguasai Afghanistan pada bulan lalu apabila tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berundur setelah berada selama 20 tahun di negara tersebut.

Dalam surat yang diutuskan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Menteri Luar baharu yang dilantik Taliban, Ameer Khan Muttaqi berkata, Ghani telah ‘disingkirkan’ pada 15 Ogos lalu dan negara di seluruh dunia ‘tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai presiden’.

Oleh itu, Muttaqi berkata, Isaczai tidak lagi mewakili Afghanistan dan Taliban mencalonkan Wakil Tetap ke PBB yang baharu, Mohammad Suhail Shaheen.

Beliau merupakan jurucakap Taliban semasa rundingan damai di Qatar.

“Kami mempunyai semua keperluan yang diperlukan untuk pengiktirafan sebuah kerajaan.

“Oleh itu kami berharap PPB sebagai badan dunia berkecuali mengiktiraf kerajaan Afghanistan baharu,” kata Shaheen kepada AP pada Rabu lalu. – Agensi