Datuk Seri Fadillah Yusof

NIBONG TEBAL – Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembinaan jambatan ketiga untuk menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan Pulau Pinang perlu mematuhi semua kriteria yang ditetapkan KKR sebelum melaksanakan sebarang projek yang dirancang.

Jelas beliau, kajian awal perlu dilakukan bagi memastikan keperluan projek tersebut termasuk kesan sosial kepada masyarakat serta persekitaran.

“Dalam setiap pelaksanaan projek kita kena kaji banyak perkara pertama sekali adalah melakukan kajian awal sama ada projek ini diperlukan atau tidak.

“Jika projek ini diperlukan, kriteria kedua adalah memikirkan projek ini memberi kesan sosial kepada masyarakat, persekitaran serta kos efektif.

“Semua kriteria ini perlu dipenuhi sebelum melaksanakan sebarang projek,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak menolak kemungkinan untuk membina jambatan ketiga menggantikan terowong dasar laut.

Mengulas lanjut, Fadillah menjelaskan, pihaknya tidak boleh mengulas lebih kerana belum menerima permohonan rasmi berhubung perkara berkenaan daripada kerajaan negeri setakat ini.

“Secara umum, itu sahaja yang boleh saya katakan,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN 

Pembinaan jambatan ketiga di Pulau Pinang?

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak menolak kemungkinan membina jambatan ketiga namun ia belum lagi dipertimbangkan.

Jelas beliau, sebarang pertimbangan berhubung perkara itu hanya akan dilakukan selepas kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette