Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 258 lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang COVIDNOW, jumlah kumulatif angka korban akibat wabak tersebut kini mencecah 25,695 sementara sebanyak 75 kes merupakan kematian di luar hospital (BID).

Lembah Klang melaporkan kes kematian tertinggi dengan 81 kes, disusuli Johor (53), Kedah (46) dan Pulau Pinang sebanyak 21 kes.

Manakala negeri yang mencatatkan angka kematian di bawah paras 20 kes pula membabitkan Sarawak dengan 19 kes, Sabah (12), masing-masing lima kes di Perak, Pahang, dan Kelantan serta empat kes di Terengganu dan Melaka.

Perlis pula mencatatkan dua kes kematian akibat Covid-19 dan Negeri Sembilan satu kes.

Sementara Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya tidak merekodkan pertambahan kes kematian.

Dalam perkembangan lain, laman sesawang berkenaan turut melaporkan jumlah kes yang masih lagi aktif sebanyak 177,560 kes dengan 9,554 pesakit Covid-19 masih ditempatkan di hospital.

COVIDNOW turut berkongsi angka individu yang menjalani kuarantin di rumah iaitu seramai 147,848 atau bersamaan dengan 83.3 peratus manakala seramai 19,180 masih berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). – MalaysiaGazette