Kamarul Rizal (dua dari kanan) menunjukkan dadah heroin yang dirampas pada sidang media di IPD Barat Daya, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Guna kereta yang diletakkan di kawasan parkir sebagai tempat simpanan dadah.

Itu modus operandi seorang lelaki aktif mengedar dadah jenis heroin sejak lima bulan lalu yang dilumpuhkan selepas ditahan di tepi Jalan Tun Hussein Onn, Seberang Perai Tengah pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan suspek berusia 36 tahun itu membawa kepada rampasan dadah heroin seberat 4.95 kilogram yang dianggarkan bernilai RM61,572.

Jelas beliau, suspek ditahan pada jam 4 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang ketika memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios sebelum menemui heroin seberat 907.3 gram dalam kenderaan tersebut.

Kamarul Rizal.

“Susulan itu, berpandu pada maklumat suspek polis memeriksa sebuah kenderaan di tapak parkir Kondominium Golden Triangel, Bayan Lepas sebelum menemui lapan bungkus heroin seberat 3.687 kilogram yang disembunyikan dalam plastik.

“Hasil siasatan mendapati suspek menjadikan kereta jenis Chevrolet di tapak parkir sebagai tempat menyimpan dadah.

”Dadah yang dirampas itu untuk pasaran sekitar Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.

Tambah Kamarul Rizal, siasatan lanjut mendapati suspek tidak bekerja dan aktif mengedar dadah sejak lima bulan lalu.

“Semakan juga mendapati lelaki itu positif dadah selain memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki baki sindiket ini yang dipercayai masih bebas,” kata beliau.

Suspek direman sehingga 1 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39BAkta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette