Hotel Mei di Lorong Abu Siti, Pulau Pinang dijadikan PKRC swasta.

GEORGE TOWN – Hotel Mei di Lorong Abu Siti, di sini, bakal dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) bagi pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, PKRCS Hotel Mei itu juga akan menawarkan penempatan sementara secara percuma kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Jelas beliau, badan bukan kerajaan (NGO), Crisis Relief Services and Training Berhad (CREST) membiayai kos operasi PKRCS bagi tempoh tiga bulan yang menelan kos berjumlah RM1.7 juta.

Chow Kon Yeow.

“Lawatan ke lokasi bersama pihak terbabit juga sudah dilakukan pada 18 September lalu dan semua pendekatan sudah diambil bagi memastikan keselamatan komuniti setempat dijaga.

“Saya yakin semua pengoperasian akan dipantau dengan rapi bagi kepentingan semua pihak terutama komuniti serta penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Kon Yeow, PKRCS itu menjadi keperluan kepada golongan B40 yang mana kediaman sedia ada tidak sesuai bagi melaksanakan kuarantin di rumah.

“Seperti yang dimaklumkan MJKNPP, hotel terbabit memenuhi kriteria dan pengoperasian PKRCS sebagai mana dinyatakan dalam Garis Panduan Annex 32b Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Februari lalu,” kata beliau.

PKRCS Hotel Mei menyediakan 70 bilik dengan kapasiti maksimum seramai 147 pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 yang berusia antara dua tahun hingga 60 tahun.

Kesemua pesakit ke PKRCS berkaitan adalah ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) dan tiada polisi walk-in dibenarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast