Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang agar menubuhkan satu dana khas bagi membantu pesara “Generasi Covid-19” yang mempunyai simpanan rendah.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil menegaskan, “Generasi Covid-19 merujuk kepada populasi bekerja antara tahun 2020-2021 yang terjejas kerana pandemik Covid-19.

Beliau berkata, dana khas itu perlu menggunakan sumbangan dividen khas Petronas dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ini adalah kerana syarikat-syarikat ini yang mendapat keuntungan ratusan juta sehingga berbilion ringgit setiap tahun perlu digunakan untuk manfaat rakyat.

“Dana khas ini seterusnya dilaburkan dan akan menyokong pesara “Generasi Covid-19″ dalam tahun-tahun mendatang. Idea ini diyakini lebih adil serta tidak membebankan kerajaan dan pembayar cukai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu Faiz berkata, Malaysia akan mencapai status negara menua menjelang 2030 yang mana 15 peratus rakyat negara ini bakal berusia 60 tahun ke atas.

Kataya, jangkaan itu boleh dicapai lebih awal jika pandemik Covid-19 ini gagal diurus dan ditangani dengan baik.

Menurut Faiz, dalam keadaan ini, sistem pencen sosial yang dibayar oleh sistem percukaian seperti mana yang dicadangkan UMNO, adalah idea yang regresif dan lebih mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.

Katanya, sudah tentu cadangan itu akan mengembalikan cukai GST diperkenalkan, manakala subsidi petrol pula dimansuhkan dan akan menambah beban rakyat.

“Ironinya, UMNO yang telah mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai UMNO membenarkan simpanan KWSP dikeluarkan sehingga licin.

“Tetapi hari ini, parti yang sama berpura-pura risau apabila dilaporkan hampir separuh ahli KWSP mempunyai simpanan bawah RM10,000.

“Jika kerajaan PN memberi lebih banyak bantuan tunai kepada rakyat, bukannya setakat suntikan langsung RM83 bilion sahaja, sudah pasti simpanan KWSP rakyat tidak akan berkurang,” katanya. – MalaysiaGazette