Deputy Minister of Health, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 15 DECEMBER 2020
Deputy Minister of Health, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 15 DECEMBER 2020 Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mencari jalan dan peluang untuk membawa balik doktor pakar di luar negara supaya kembali berkhidmat di dalam negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia juga merupakan salah satu cara yang boleh digunakan untuk mencapai sasaran keperluan iaitu seramai 28,000 doktor pakar menjelang 2030.

“Memang kita target nak capai 28,000, kalau saya boleh kata ia satu agka realistik tapi ini akan dapat merapatkan jurang kursus kepakaran sarjana yang sekian lama diadakan dan kursus kepakaran.

“Yang hari ini Jawatankuasa khas ditubuhkan tahun ini fokus memohon dana dari (Kementerian Kewangan) lebih Latihan Persekutuan, untuk timbulkan minat dan kebolehlaksanaaan doktor-doktor baharu dalam bidang kepakaran yang diminati.

“Saya memang berfikir bagaimana kita nak menambahkan lagi doktor-doktor pakar ktia dan mengurangkan penghijarahan keluar dan memanggil balik kalau boleh doktor-doktor pakar hebat berada di luar negara balik untuk menabur jasa bakti menolong rakyat di Malaysia ini,”katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, hingga 30 Jun 2021, seramai 6,012 orang Pakar Perubatan berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Daripada jumlah ini, seramai 5,993 adalah Pakar Perubatan lantikan tetap manakala 19 lagi adalah Pakar Perubatan kontrak.

Menurut Noor Azmi, antara usaha lain yang dilaksanakan untuk menambah jumlah tenaga doktor pakar adalah dengan meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) bagi membolehkan lebih ramai Pegawai Perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran.

“Dalam hal ini, sebanyak 1,300 slot telah diperuntukkan pada tahun 2021,” katanya.

Selain itu, Noor Azmi berkata, Pegawai Perubatan juga boleh mengikuti pengajian kepakaran melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway.

“Seramai 189 Pegawai Perubatan telah berjaya menjadi Pakar Perubatan pada tahun 2020 berbanding hanya 98 orang pada tahun 2011,” tambahnya.

Ujar beliau, KKM juga melaksanakan lantikan semula Pegawai Perubatan Pakar warganegara Malaysia yang telah bersara wajib termasuklah mendapatkan perkhidmatan kepakaran daripada pihak swasta menerusi penyampaian perkhidmatan dan penyumberluaran (outsourcing). – MalaysiaGazette