Sebuah lori hilang kawalan meluru laju sebelum merempuh lima buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Segambut menghala k Jalan Ipoh, dalam kejadian baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggantung lesen pengendali CBSB Transport Sdn Bhd selepas lori yang melanggar lima kenderaan lain di Jalan Ipoh baru-baru ini didapati gagal melaksanakan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) sepenuhnya.

Penggantungan itu adalah untuk tempoh tiga bulan atau sehingga syarikat memenuhi keperluan ICOP, yang mana terkemudian berkuatkuasa 27 September 2021, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden kemalangan yang melibatkan kenderaan barangan jenis tipper dengan lima kenderaan awam yang lain di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menghala ke Sentul dari Jalan Duta pada 6 September 2021 jam 2.40 petang yang lalu.

”Mengambil kira kepentingan awam dan berdasarkan laporan siasatan ‘JPJ Inspection & safety Audit’ (JISA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memutuskan untuk mengambil tindakan penggantungan lesen pengendali syarikat CBSB Transport Sdn Bhd,” jelas beliau dalam kenyataan di sini.

Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715) yang mana syarikat telah gagal melaksanakan ICOP tanpa sebab yang munasabah, yang mana ia merupakan satu pelanggaran serius terhadap syarat lesen serta melibatkan risiko keselamatan kepada pemandu, pengguna jalan raya dan juga orang awam.

Tegas Ka Siong, MOT sentiasa memandang serius isu berkaitan keselamatan kenderaan pengangkutan awam dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan berkaitan pematuhan permit dan lesen oleh pengendali.

”Semoga tindakan ini dapat memberi pengajaran kepada pengendali terlibat serta peringatan kepada keseluruhan industri pengangkutan awam dan perdagangan secara amnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast