Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Beberapa perundangan berkaitan sektor perdagangan pengedaran akan diteliti dan dipinda bagi membantu pemulihan entiti perniagaan agar kekal kompetitif, terutamanya dalam fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara perundangan yang terlibat adalah Akta Syarikat 2016, Akta Perkongsian Liabiliti 2012, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, Peraturan-peraturan di bawah Akta Francis 1998 serta perundangan-perundangan lain berkaitan harta intelek.

“Sehubungan dengan itu, KPDNHEP komited untuk bersama kerajaan dalam merancakkan lagi sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan pengedaran.

“Sektor perdagangan pengedaran yang merangkumi
perdagangan borong dan runcit, pasar raya besar dan pasar raya serta perniagaan francais dan jualan langsung secara konsistennya adalah antara penyumbang pelaburan utama kepada sektor perkhidmatan negara dan juga KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

“Pemodenan semua sub-sektor ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pendigitalan di bawah program MyDigital termasuklah menambah-baik aplikasi ez-Aduan, Price Catcher, My Sales Tracker, MyHarga, Spacedeal, Chatbot Sara, Enforcement Command Centre dan ReDI,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Alexander berkata, bagi menyokong perkembangan ekonomi gig dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), pihaknya bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC), sebuah agensi di bawah KPDNHEP telah mengadakan libat urus berterusan dengan pemain utama industri seperti Shoppe, Lazada, Grab, Food Panda dan Airasia Food agar satu ekosistem yang kondusif dan iklim persaingan yang sihat dapat diwujudkan antara pengguna, vendor, operator dan pekerja-pekerja penghantaran.

Dalam aspek dana harta intelek pula beliau berkata, KPDNHEP akan mengarahkan MYIPO untuk memperhebatkan usaha bagi membantu lebih ramai usahawan dalam kalangan belia memfailkan harta intelek mereka seperti cap dagangan, paten, hakcipta dan rekabentuk perindustrian.

Sementara itu Alexander berkata, pihaknya juga sudah memulakan kajian rasionalisasi subsidi untuk mengenalpasti modul pemberian subsidi yang berimpak dan sampai kepada
golongan sasaran.

Jelasnya, penguatkuasa KPDNHEP pula beserta pegawai
pemantau harga akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi dan harga dalam keadaan terkawal di seluruh rantaian bekalan.

“KPDNHEP merasakan rakyat Malaysia harus menjadi masyarakat pengguna yang berdaya-upaya yang peka terhadap hak mereka dan peniaga yang beretika dalam sebuah ekosistem perdagangan dalam negeri yang berdaya saing dan berdaya maju berasaskan pasaran bebas.

“Program advokasi dan promosi akan terus dilaksanakan di semua peringkat meliputi sekolah, universiti, persatuan pengguna dan masyarakat,” tambahnya. – MalaysiaGazette