GOMBAK – Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerima banyak aduan berkaitan pendaki yang menceroboh kawasan hutan simpan tanpa memiliki permit sejak akhir-akhir ini.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) JPNS, Norddin Noor, sehingga kini Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih belum membenarkan sebarang aktiviti dilakukan di kawasan tersebut.
“Ada juga yang dilihat di laman Facebook dan terima aduan kerana kita sedia maklum bahawa negeri Selangor ini memang kawasan yang padat jadi aduan yang diterima memang terlampau ramai masuk ke hutan simpan tanpa permit.
“Tetapi apa yang menjadi masalah adalah di persekitaran hutan simpan ini adalah tanah milik individu jadi mereka (pendaki) ini pergi melalui jalan tersebut atau memilik untuk mendaki pada masa yang lain.
“Jadi secara on the spot memang kita tidak akan dapat (tangkap), kita hanya boleh tangkap individu berkenaan jika mereka masuk ke kawasan hutan,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu Op Lagong di Hutan Simpan Bukit Lagong hari ini.
Dalam masa sama, Norddin turut mengakui JPNS berdepan dengan kesukaran dari segi kawalan penguatkuasaan sekiranya kawasan hutan simpan berkenaan berada berhampiran tanah milik individu.
“Dari segi kawalan memang sukar, walau bagaimanapun kita memang sentiasa melakukan operasi penguatkuasaan dengan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Norddin turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah termasuk jungle trekking, berkelah atau mandi sungai ketika musim monsoon di negara ini.
Ini bagi mengelak mana-mana individu daripada terlibat dalam mana-mana insiden tidak diingini terutamanya fenomena kepala air.
“Fenomena kepala air ini sebenarnya berlaku akibat hujan lebat, bila hujan terlampau lebat air akan turun sekali gus dengan banyak.
“Sekiranya ada melibatkan penebangan hutan atau banyak pokok tumbang, jadi pokok-pokok itu yang akan menghalang aliran sungai sehingga paras air meningkat dan apabila paras air dah terlampau tinggi ia akan pecah dan seterusnya jadi kepala air,” katanya. – MalaysiaGazette