Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Malaysia lebih memerlukan pelaburan yang bersifat teknologi baharu merangkumi pembangunan sistem digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, negara kini tidak lagi memerlukan pelaburan berbentuk infrastruktur sebaliknya lebih cenderung untuk dapat memanfaatkan pelaburan yang akan meningkatkan proses pendigitalan sektor ekonomi.

“Menerusi RMK12, negara menyasarkan pelaburan dari sektor swasta meningkat kepada RM258 bilion menjelang 2025 manakala pelaburan dari sektor awam sebanyak RM80 bilion.

“Ciri-ciri pelaburan yang diperlukan negara ketika ini adalah dalam bentuk penyediaan sistem pendigitalan yang akan membolehkan kita melaksanakan proses automasi dan sebagainya,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, RMK12 adalah sebuah pelan jangka panjang yang dirangka di peringkat makro dengan mengambil kira sasaran Malaysia ke arah sebuah negara maju.

“Selepas ini, akan ada kumpulan pelaksana yang akan memperincikan setiap dasar di peringkat mikro dan merangka pelan pelaksanaan yang akan dijalankan oleh pemegang taruh di kementerian dan agensi.

“Di peringkat jabatan, kita akan cuba menghasilkan lebih banyak statistik berbentuk ‘bottom-up’ di peringkat daerah dan mukim yang akan memperincikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, sebuah pangkalan data yang komprehensif bakal dibentuk di bawah RMK12 yang akan mengetengahkan pelbagai isu ekonomi setempat seperti kos sara hidup, pengangguran dan sosial supaya ia dapat dikenal pasti dan diatasi dengan berkesan.

“Kita akan mengeluarkan banyak data yang akan membolehkan semua orang mengambil bahagian dan mengemukakan pandangan terhadap permasalahan yang dihadapi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast