KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya kerajaan meneruskan semula Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura dengan konsep asal.
Jelasnya, berdasarkan kaji selidik Institute of Developing Economies, Japan, HSR mampu memberi keuntungan ekonomi kira-kira AS$1.6 bilion setahun dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura.
Dalam masa yang sama projek tersebut juga akan memberi nafas baharu kepada koridor selatan semenanjung seperti Iskandar Malaysia, Batu Pahat, Muar, Melaka dan Seremban, ujarnya.
“Menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada KLIA ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak viable (berupaya) dan akhirnya merugikan negara apabila terpaksa membayar subsidi berbilion-berbilion (ringgit).
“Mengembalikan semula projek HSR kepada perancangan asal juga dapat menghidupkan semula projek Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion dari segi GDV (Gross Development Value),” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berpendapat, selain membina semula hubungan antarabangsa dengan ekonomi-ekonomi besar yang telah terkesan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Malaysia perlu menarik semula perhatian dan minat dunia.
Dalam masa yang sama beliau menyokong hasrat kerajaan menerusi RMK-12 untuk meneruskan beberapa projek berskala besar seperti Jalan Raya CSR, Lebuh Raya Kuala Krai – Kota Bharu, Lebuh Raya Pantai Barat, Lebuh Raya Pan-Borneo yang dilihat akan memberi kesan positif untuk memudahkan perhubungan dan dalam masa sama akan mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Ini bukan sahaja memudahkan, dengan izin Tuan Yang Dipertua connectivity tetapi juga memberi faedah sampingan seperti kenaikan nilai tanah, membina kawasan perumahan baharu atau bertani dengan cara yang lebih moden.
“Kawasan-kawasan yang sebelum ini amat sukar dihubungkan, akan menjadi kawasan-kawasan yang mampu menarik pelbagai peluang perniagaan untuk penduduk setempat.
“Justeru, jika kerajaan pusat dan kerajaan negeri merancang dengan komprehensif dan terancang, saya percaya banyak pelabur dalam dan luar negeri akan berminat untuk mengambil bahagian,” ujarnya.
Sementara itu, Najib turut mencadangkan supaya projek pertanian berasaskan makanan, seperti konsep ala felda boleh diwujudkan di atas tanah-tanah milik kerajaan negeri sepanjang laluan infra-rakyat ini.
“Ini sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan, perumahan dan perniagaan. Usaha ini juga boleh menambah kepada keselamatan makanan, dengan izin food security negara,” katanya.-MalaysiaGazette