Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR  – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan laporan yang mendakwa empat juta data yang bocor diperoleh dari laman sesawang LHDN melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

LHDN dalam satu kenyataan berkata, agensi itu hanya merupakan pengguna dan bukan pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.

Jelasnya, siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

“LHDN juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini.

“LHDN memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf,” kata kenyataan ihari ini.

Mengulas lanjut, LHDH kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana ia boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka.

LHDNM juga ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini dan turut tidak menolak kemungkinan ia dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mengelirukan dan menipu masyarakat.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. – MalaysiaGazette