KUALA LUMPUR – Seramai 19,912,566 individu atau 85.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.
Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 94 peratus atau 21,993,709 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
Selain itu, seramai 33,050 atau 1.1 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.
Sementara itu, sebanyak 240 kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (28 Sept), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 25,935.
Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.
Sebanyak 71 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – MalaysiaGazette