M. Vaitheswaran

SEBERANG JAYA – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mengarahkan bekas pendandan rambut, M. Vaitheswaran membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu di Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

“Berkenaan dengan tuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, saya berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan bahawa terdapat bukti yang boleh dipercayai untuk membuktikan unsur-unsur kecuaian.

“Memandangkan bukti wujud kecuaian oleh tertuduh, saya dengan ini meminta pihak pembelaan untuk membela diri,” katanya.

Susulan itu, mahkamah menetapkan prosiding perbicaraan bela diri pada 28 dan 29 Oktober ini.

Vaitheswaran, 23, yang berpakaian kemeja T biru tua kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika penghakiman dibacakan.

Vaitheswaran hadir seorang diri di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala Vaitheswaran diwakili K. Paramanathan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sementara itu, Paramanathan berkata, anak guamnya akan memberikan keterangan di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk beliau mematahkan segala anggapan seperti dalam pertuduhan.

Peguam itu berkata, Vaitheswaran telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan ini bermakna anak guamnya bersedia untuk disoal balas oleh pihak pendakwaan.

“Tiga saksi akan dipanggil untuk pembelaan ini yang terdiri daripada tertuduh sendiri, ibunya (saksi awam) serta seorang pakar perubatan daripada Hospital Seberang Jaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.

Dalam kejadian pada 29 Januari 2019, seorang pemandu SUV terbunuh dalam kemalangan selepas kenderaannya itu terhumban dalam laut di Jambatan Pulau Pinang.

Dua tahun lalu , Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Dalam kejadian kira-kira jam  2.50 pagi itu, Vaitheswaran dikatakan memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan hingga menyebabkan SUV itu hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast