Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR –  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mendedahkan seorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh mendapat gratuati (elaun tanggungan) antara RM1 hingga RM2 juta apabila beliau pencen daripada jawatan.

Elaun itu diambil kira jawatan-jawatan dan tempoh yang pernah dipegang oleh mana-mana ahli Parlimen mahupun ADUN ketika berkhidmat.

“Apabila diberhentikan dapat gratuiti (elaun tanggungan) ada yang sampai RM1 hingga RM2 juta kerana dia tidak tengok masa kamu berkhidmat sebagai menteri tapi ikut kamu sebagai ahli Parlimen.

“Contoh kalau ahli Parlimen empat hingga lima penggal, walaupun jadi menteri satu hari pun gratuiti itu telah melangkaui RM1 juta,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12), hari ini.

Katanya, seorang menteri dibayar pada kadar RM55,000 setiap bulan, selain turut mendapat pelbagai insentif dan kelebihan.

“Saya tahu kerana pengalaman saya sebagai menteri gaji seorang menteri setiap bulan RM55,000,  dapat rumah yang agak mewah di Putrajaya, kereta ada pemandu, makan pun boleh claim dengan kerajaan.

“Dapat plat nombor kalau jual dapat ratusan ribu, dapat AP untuk bawa masuk kereta mewah. Satu bidang tanah di Putrajaya, elaun percutian bagi yang sudah berkahwin boleh melebihi RM100,000 hingga RM200,000 setiap tahun,” kata.

Justeru itu, beliau meminta agar kerajaan baharu yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghentikan amalan ini dan fokus kepada membantu rakyat.

“Saya berharap agar kerajaan baharu yang telah bertukar tiga kali dan ada menteri yang telah kekal tiga kali, adakah gratuiti dia hanya sekali atau setiap kali dia berhenti naik RM1 juta,” katanya lagi.

Malah Ahli Parlimen Muar itu turut menggesa segala jawatan pencen itu diberikan satu kadar pencen yang sepatutnya.

Ini kerana, kata Syed Saddiq golongan ini boleh mendapatkan pencen sehingga RM100,000 sebulan apabila pencen daripada jawatan.

“Jika ahli Parlimen yang pernah berkhidmat sebagai ADUN, Exco, menteri itu semua merupakan pencen yang berasingan dan kalau digabungkan pencen tersebut, ia boleh melangkaui RM100,000 sebulan jika pernah berkhidmat dalam banyak kedudukan yang berbeza.

“Kenapa ada ahli Parlimen yang tak nak bersara walaupun sudah berkhidmat puluhan tahun kerana realiti pengiraan pencen itu berbeza.

“Lagi lama kamu berkhidmat sebagai ADUN, ahli Parlimen lagi tinggi pencen kamu. Kalau berkhidmat lima hingga enam penggal, pencen kamu jauh lebih tinggi kerana ia tidak ikut statik gaji dan pembayaran setiap bulan,” ujarnya.

Sudah, tiba masanya untuk kerajaan ‘Keluarga Malaysia’  menubuhkan satu jawatankuasa bagi membincangkang perkara itu agar Malaysia tidak terbeban dengan bayaran pencen tidak munasabah ini. – MalaysiaGazette