Menteri Besar pahang menyampaikan replika kunci MPV Toyota Innova bagi kegunaan Masjid Sultan Ahmad Shah.

KUANTAN – Kerajaan Pahang telah menyumbangkan sebanyak 16 buah kenderaan untuk kegunaan beberapa buah institusi di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Yed Ahmad berkata, kenderaan tersebut diserahkan kepada sekolah menengah agama, pejabat agama Islam daerah dan masjid.

“Sepanjang 2021, sumbangan kenderaan turut diberikan kepada 13 Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Selain itu dua buah Proton Exora disumbangkan kepada Pejabat Agama Islam Raub dan Pejabat Agama Islam Bera,” katanya selepas majlis penyerahan sebuah kenderan penumpang pelbagai guna (MPV) kepada pengurusan Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Syed Ibrahim berharap agar usaha kerajaan negeri dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam kerja-kerja dakwah, pendidikan dan kebajikan. – MalaysiaGazette