Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri menaik taraf kemudahan pengangkutan awam berbanding memperuntukan wang untuk pembinaan jambatan ketiga.

Presiden (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, pembinaan jambatan ketiga yang dikatakan bagi menggantikan terowong dasar laut itu dilihat tidak menguntungkan rakyat sebaliknya hanya bagi kepentingan syarikat pemaju.

Jelas beliau, impak buruk lebih besar akan berlaku termasuk kerosakan dari segi perairan sekiranya projek mega itu diteruskan.

“Pendirian kita, jambatan ketiga tidak perlu dibina kerana Pulau Pinang sudah mempunyai dua jambatan sedia ada.

“Mereka (kerajaan negeri) perlu tahu pembinaan beberapa jalan raya baharu akan turut menyebabkan kesesakan.

“Adalah lebih baik jika wang itu digunakan bagi menaik taraf kemudahan di negeri ini seperti pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Pembinaan jambatan ketiga di Pulau Pinang?

Menurut Mohideen pihaknya akan terus membantah usaha Kerajaan Pulau Pinang sekiranya mereka mahu meneruskan projek itu.

“Selain itu, rakyat juga boleh ‘menghukum’ kerajaan negeri menerusi pilihanraya akan datang,” tegas beliau.

MalaysiaGazette semalam melaporkan Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembinaan jambatan ketiga untuk menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan Pulau Pinang perlu mematuhi semua kriteria yang ditetapkan KKR sebelum melaksanakan sebarang projek yang dirancang.

Untuk rekod projek terowong sepanjang 7.2 kilometer menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

 PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri yang merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar. – MalaysiaGazette