Gambar Hiasan

KUANTAN – Seorang penyelia lombong bijih timah kerugian RM55,700 setelah ditipu individu yang menawarkan kerja sambilan melalui aplikasi ‘Nice Jobs’ sejak 22 Ogos lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima komisen antara 10 hingga 15 peratus seperti yang dijanjikan selepas selesai menjalankan urus niaga menggunakan aplikasi itu.

Tambah Wazir, berikutan itu mangsa yang berusia 38 tahun itu perlu membuat pembayaran terlebih dahulu barangan yang dipesan pelanggan

“Mangsa mengenali suspek melalui media sosial Facebook sejak April lalu dan suspek dikenali Ting Su Li kemudian menawarkan mangsa melakukan kerja sambilan sebagai pendapatan tambahan melalui aplikasi ‘Nice Jobs’.

“Suspek telah menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan mengarahkan mangsa memuat naik aplikasi ‘Nice Jobs’ untuk urus niaga memulakan kerja sambilan itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa telah membuat tiga transaksi pemindahan wang berjumlah RM55,700 ke dalam tiga akaun berbeza yang diberikan suspek antara 22 Ogos hingga 2 September lalu.

Jelasnya, mangsa menyedari ditipu apabila tidak dapat mengakses aplikasi ‘Nice Jobs’ dengan menggunakan kata laluan diberikan suspek sebelum ini.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada petang Selasa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast