Dr. Adham baba

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih menganjurkan program advokasi kepada mereka yang antivaksin atau belum bersedia berbuat demikian supaya melengkapkan diri dengan vaksinasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, mereka masih boleh mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Beliau berkata, sehingga 20 September lalu sebanyak 80 peratus penduduk dewasa telah lengkap vaksin, ada kira-kira 5.7 peratus lagi (dewasa) yang belum daftar.

“Ada beberapa sebab yang 5.7 peratus ini belum daftar iaitu disebabkan mereka berpindah, komorbiditi dan memang ada dalam mereka yang antivaksin.

“Namun, kepada mereka ini, kita masih ada program advokasi supaya mereka terus mendaftar dalam MySejahtera supaya kita boleh memvaksinkan mereka.

“Kalau mereka tidak mahu vaksin, nanti suatu ketika kerajaan akan keluarkan perintah atau cadangan bagaimana kita boleh mengurus pandemik Covid-19 ini tanpa vaksinasi,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi jawab lisan bagi soalan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wam Azizah Wan Ismail (PHK) yang meminta kerajaan menyatakan strategi kerajaan selain program vaksinasi dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Mengenai kos program vaksinasi yang telah dijalankan, Dr. Adham berkata, sehingga 20 Ogos lalu, untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak RM2.8 bilion telah digunakan.

Katanya, perbelanjaan itu digunakan untuk membeli vaksnin dan logistik vaksin sebanyak RM2.6 bilion, manakala selebihnya bagi pembiayaan aset program PICK, bekalan pakai habis, bahan untuk termasuk kad vaksinasi dan borang kebenaran.

Beliau juga menjelaskan, bagi isu perbelanjaan PICK sehingga 30 Ogos lalu dari jumlah RM1 bilion yang diperuntukan sebanyak RM314 juta telah dibelanjakan untuk sewaan dan utiliti, pembersihan dan sanitasi, perkakasan dan alatan pakai habis serta kebajikan petugas di PPV iaitu sagu hati sukarelawan, anggota keselamatan dan belanja makan minum. – MalaysiaGazette