DBKL menangguhkan pelaksanaan larangan penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka di KL selama sebulan bermula 1 Oktober ini.-Sumber DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menangguhkan pelaksanaan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di ibu negara.

Larangan itu sepatutnya dilaksanakan esok (1 Oktober 2021) seperti mana dipersetujui Kementerian Wilayah Persekutuan pada Okotber tahun lalu.

Menurutu Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL, keputusan yang dikeluarkan hari ini merujuk kepada Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang telah digunapakai berkuatkuasa pada 15 November 2020 dan telah dimuatnaik di laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my/.

“Garis panduan LMK tersebut menyatakan bermula 1 Oktober 2021 penjualan liquor di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat Cina tidak dibenarkan.

“Walau bagaimanapun larangan ini ditangguhkan bagi tempoh satu bulan mulai 1 Oktober 2021 sehingga 31 Oktober 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan penangguhan itu bertujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan liquor di ibu negara.

Tambahnya, kemudahdapatan dan aksesibiliti kepada minuman minuman keras telah menjadi aduan dan bantahan kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pada pagi tadi, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan pelaksanaan larangan penjualan minuman keras bermula 1 Oktober ini akan dibincangkan dalam mesyuarat pihak berkuas tempatan (PBT) terbabit pada hari ini. – MalaysiaGazette