potholes KL Kuala Lumpur
Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan kedai serbaneka dalam ibu negara yang dijadual berkuatkuasa pada 1 Oktober 2021 akan dimuktamadkan hari ini.

Penguatkuasaan larangan itu akan dibincang dan diputuskan oleh Lembaga Eksais Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Projek Khas yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan peraturan baharu itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mesyuarat turut melibatkan Lembaga Eksais DBKL dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Projek Khas yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan tersebut.

“Ada kerja yang memerlukan kehadiran menteri dan adanya di peringkat pegawai sahaja. Biasanya ada yang memerlukan campurtangan menteri apabila benda itu tidak dapat diputuskan.

“Bagaimanapun sebelum esok akan diberitahu keputusannya (larangan penjualan arak),” kata beliau ringkas ketika ditemui pemberita pagi ini selepas merasmikan program Usahawan Komuniti Kreatif-Seni Jahitan di sini, hari ini.

Artikel berkaitan:

Program tersebut membabitkan 50 usahawan wanita terdiri daripada golongan belia, ibu tunggal, suri rumah sepenuh masa dan B40 yang berpotensi mengembangkan daya kreativiti menaik taraf kehidupan mereka menjelang endemik Covid-19.

Pada 16 November 2020, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang mula berkuatkuasa 15 November tahun lalu.

Garis panduan tersebut telah dimuktamadkan Lembaga Eksais dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Projek Khas Bil.11 yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 7 Oktober 2020 yang lalu.

Antara agensi yang terlibat adalah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP); Kementerian Kesihatan (KKM); Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (KASTAM); Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Lembaga Eksais DBKL, Datuk Lau Beng Wei berkata, garis panduan tersebut bukan bertujuan menyekat hak penjualan dan pembelian arak sebaliknya bagi mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol demi keselamatan, dan kesihatan warga kota.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober 2021.

Kedai menjual ubat tradisional Cina juga dikenakan larangan tersebut, tetapi pengecualian dibuat untuk produk minuman keras bagi “tujuan ubatan tradisional”.

“Berkuat kuasa 1 Oktober 2021 tiada lagi lesen baru LMK (minuman keras yang memabukkan) di kedai runcit, serbaneka, ubat Cina.

“Untuk LMK sedia ada di kedai runcit, serbaneka, ubat Cina, pembaharuan dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja,” kata garis panduan itu.

Pasar raya, hypermarket, hotel, bar, dan pub masih dibenarkan menjual minuman keras, tetapi mesti memastikan bahawa pelanggan berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.-MalaysiaGazette