Pengarah Urusan Fathiri Fadzlah Holdings Sdn Bhd merangkap Pengasas Grocer Mat, Datuk Fathiri Fadzlah bercakap kepada media pada majlis perasmian Grocer Mat di Sri Gombak, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 29 SEPTEMBER 2021.

GOMBAK – Hati dan jiwa sebagai seorang guru dalam dirinya tidak pernah berubah. Bagi lelaki ini, tugas mendidik tidak boleh berhenti serta tiada noktahnya.

Pernah bergelar seorang guru, karier itu menjadi beliau lebih kuat dan tidak sesekali berputus asa dalam berdepan cabaran membimbing anak bangsa.

Biar pun perlu menempuh kesukaran termasuk membabitkan masalah disiplin anak didik, karier pendidik cukup unik dan luar biasa kerana perlu memahami serta menerima hakikat iaitu tugas mereka sudah tentu tidak boleh lari daripada cabaran.

Itulah yang membuatkan jiwa Datuk Fathiri Fadzlah masih melekatkan untuk mendidik masyarakat sehingga hari ini walaupun dunia perguruan sudah lama ditinggalkan.

Lulusan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pernah menjadi guru Matematik selama dua tahun lebih. Namun demi mengejar cita-cita sebagai ahli perniagaan berjaya, Fathiri melakukan pengorbanan besar melepaskan rasa cinta mendidik anak bangsa.

Bergelar usahawan dalam pelbagai bidang seperti agensi pelancongan, logistik, pembinaan dan terbaharu pemilik pasar basah, Grocer Mat, beliau akhirnya mengakui profesion guru adalah cinta pertama dan terakhirnya.

“Jiwa seorang guru itu adalah mendidik kanak-kanak dan golongan remaja tetapi bila sudah berniaga, saya masih mendidik golongan dewasa.

“Seperti di Groce Mat, masih banyak pendidikan yang boleh diberikan kerana pendidikan tidak semestinya di sekolah. Setiap tempat kita masih boleh mendidik orang,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas majlis pembukaan cawangan pertama Grocer Mat secara rasmi di Taman Sri Gombak di sini hari ini.

Pengarah Urusan Fathiri Fadzlah Holdings Sdn Bhd merangkap Pengasas Grocer Mat, Datuk Fathiri Fadzlah(kiri) bergambar bersama isteri, Datin Freida Jihan Abdul Kadir dan anak Amalina Azalea Farahannnah pada hari perasmian Grocer Mat di hadapan premis Grocer Mat di Sri Gombak, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 29 SEPTEMBER 2021.

Ditanya sama ada timbul rasa menyesal meninggalkan dunia perguruan, bapa kepada seorang anak ini menegaskan jiwanya masih seorang pendidik.

Tegas beliau, apa yang akan membuatkan diri lebih menyesal apabila meninggalkan kriteria atau sikap yang dalam jiwa seorang guru.

“Kalau saya tinggal kriteria dalam dunia pendidik, itu yang membuatkan saya menyesal. Walaupun profesion saya beralih kepada kepada perniagaan, jiwa saya masih pendidik.

“Selepas meninggalkan dunia perguruan, saya melakukan pelbagai bisnes seperti agensi pelancongan, logistik, ada yang menjadi dan ada yang tidak mengikut situasi.

“Namun saya akui jiwa guru itu tidak boleh hilang kerana cara cakap kekal seperti guru,” katanya berterus-terang.

Pengarah Urusan Fathiri Fadzlah Holdings Sdn Bhd merangkap Pengasas Grocer Mat, Datuk Fathiri Fadzlah menunjukkan antara barang segar yang diniaga di Grocer Mat di Sri Gombak, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 29 SEPTEMBER 2021.

Fathiri menambah, langkah berani yang diambil sebelum ini bukanlah secara membabi buta tetapi berdasarkan ilmu, kecekalan serta pengalaman yang sudah terlebih dahulu ditempuh ketika beliau menceburi pelbagai cabang perniagaan.

Berasal daripada keluarga pendidik, beliau berkata, setiap kejayaan yang pernah ditempa adalah hasil daripada didikan kedua orang tuanya yang tidak cuma mementingkan soal untung rugi dalam berniaga tetapi juga kebajikan yang boleh memberi manfaat kepada agama dan anak bangsa.

“Apabila sudah berada di tahap pada hari ini, menerusi  Grocer Mat secara tidak langsung saya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang ramai dan yang lebih utama membantu menjana ekonomi anak bangsa.

“Seiring berjalannya waktu, antara impian lain saya untuk Grocer Mat ialah agar ianya dapat berkembang pesat hingga mampu menyediakan peluang pelesenan bagi mereka yang berminat membuka rangkaian Grocer Mat dengan modal yang terhad.

“Mereka hanya perlu mengeluarkan kos untuk sewa premis manakala pihak Grocer Mat akan menyediakan barangan jualan secara pinjaman. Jika tidak, pengusaha bukan saja menanggung kos sewa dan pengubahsuaian kedai, malahan mereka terpaksa membayar secara tunai barang jualan yang tinggi kepada pembekal,” katanya mengakhiri perbualan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast