Pesakit baharu Covid-19 boleh dijangkiti jika berada berdekatan dengan seseorang yang batuk atau bersin.

KUALA LUMPUR – Suami atau ahli keluarga yang mahu menemani ibu bersalin dibenarkan melakukannya bermula 4 Oktober ini.

Surat arahan daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) mengenai perkara tersebut yang bertarikh 28 September telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia bagi memberi ruang kepada hospital untuk menjalankan persediaan yang diperlukan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, suami atau ahli keluarga yang mahu menemani ibu bersalin perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 T-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh 72 jam.

Katanya, keputusan ujian perlu dibawa sebelum menemani ibu bersalin.

Menurut beliau, selepas menjalani ujian suami atau ahli keluarga perlu menghadkan pergerakan.

Ujian boleh dijalankan di fasiliti kesihatan atau membeli sendiri Kit Ujian Kendiri Covid-19.

“Suami atau ahli keluarga terdekat perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di Wad Bersalin,” katanya menerusi kenyataan.

Kata Noor Hisham, seperti yang diumum sebelum ini suami atau ahli keluarga yang ingin menemani ibu bersalin perlu menerima lengkap dua dos vaksin.

“Iaitu 14 hari selepas dos kedua bagi vaksin jenis dua (2) dos seperti Pfizer, Sinovac, dan Astra Zeneca; atau 28 hari selepas menerima vaksin jenis satu (1) dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, para suami dan ahli keluarga terdekat yang menemani para ibu hamil ini juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang menemani ibu hamil ini.

“Ini kerana mereka merupakan golongan berisiko tinggi yang perlu sentiasa dilindungi. KKM berharap masyarakat terutama ibu hamil serta suami dan keluarga dapat mengambil manfaat daripada kemudahan yang telah diberikan ini,” tambah beliau.-MalaysiaGazette