Dr Noorfajri Ismail.

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk mengenakan kompaun dalam sesuatu kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001) adalah dibenarkan dengan keizinan pihak Pendakwa Raya.

Pensyarah Kanan Prosedur Jenayah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Noorfajri Ismail berkata, kompaun adalah satu bentuk penalti atau hukuman atas kesalahan antara pihak tertuduh dengan pihak berkaitan tanpa melibatkan sabitan daripada pihak Mahkamah.

Beliau berkata, tidak timbul isu bahawa tindakan mengkompuan adalah perkara luar biasa kerana mengikut seksyen berkenaan ia dibenarkan namun tertakluk kepada kesalahan tertentu sahaja.

“Contoh mudah, seorang yang melakukan khianat sehingga mendatangkan kerugian atau kemungkiran kontrak pekerjaan yang mana kedua-duanya merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan boleh dikompaun.

“Bagaimanapun, bukan semua bentuk kesalahan boleh dikompaun dan hanya kesalahan-kesalahan tertentu sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengikut Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001, pihak berkuasa berwibawa atau agensi penguat kuasa berkaitan, boleh dengan keizinan Pendakwa Raya, mengkompaun mana-mana kesalahan di bawah akta ini dengan menerima daripada orang yang disyaki secara munasabah telah melakukan kesalahan itu, apa-apa amaun yang tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum bagi kesalahan itu.

Ia termasuk denda harian, jika ada, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, yang boleh dikenakan ke atas orang itu jika dia telah disabitkan atas kesalahan itu, dalam apa-apa tempoh yang dinyatakan dalam tawaran bertulisnya.

Noorfajri berkata, bagi kes-kes yang telah didakwa di mahkamah, kompaun hanya dibuat dengan kebenaran Pendakwa Raya.

Mengulas lanjut, Akta AMLATFPUAA 2001 membenarkan tindakan pembekuan, menyita atau melucuthak sesuatu harta dalam apa jua bentuk bagi mendapatkan semula wang yang telah digunakan untuk kegunaan yang tidak sah.

“Tindakan kompaun adalah dibenarkan di bawah undang-undang, berdasarkan kesalahan tertentu misalnya merujuk kepada kes ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dikenakan kompaun RM1.1 juta.

“Merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan kompaun yang dikenakan ini merupakan satu tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat. Ia merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah AMLATFPUAA 2001,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau ada juga kesalahan yang tidak boleh dikompaun misalnya membabitkan kes jenayah berat di bawah Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kesalahan di bawah pengubahan wang haram tidak sama dengan kesalahan di bawah Kanun Keseksaaan yang membabitkan kesalahan seperti mencuri, merompak dan pecah amanah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, membebas dan melepaskan Ahmad daripada kedua-dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang, dan memberi kenyataan palsu kepada SPRM.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Setiausaha Agung UMNO itu susulan persetujuannya membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

Ahmad sebelum ini pernah ditawarkan kompaun tersebut pada Oktober 2019 namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada ketika itu.

Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020. Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau mengemukakan representasi dan bersetuju untuk membayar kompaun tersebut.

Sementara itu, mengulas kes berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Darul Haq Global Ventures Sdn. Bhd. Mohd. Prasad Hanif berkata, rakyat seharusnya ada standard atau piawaian dalam penilaian kes.

Beliau berkata, SPRM dan mahkamah telah melaksanakan tugas berdasarkan undang-undang sedia ada dan hukuman telah dijatuhkan berdasarkan fakta-fakta kes.

“Bagaimanapun, mungkin ramai menganggap kompaun itu tidak setimpal dengan kesalahan. Maka rakyat harus menyeru kepada Ahli Parlimen agar menggubal semula akta-akta terbabit agar kesalahan yang sama membawa hukuman yang lebih berat.

“Maka, anggota penguatkuasa boleh melaksanakan tugas mereka dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette