Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bersambung hari ini.

Pagi tadi, saksi pendakwaan ke-11, bekas Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh memberikan keterangan  di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Ketika membacakan kenyataan saksi, Shukry mendakwa Najib pernah mengarahkannya untuk memaklumkan kepada Jabatan Audit Negara (JAN) agar tidak menyebut nama Low Taek Jho atau Jho Low dalam laporan audit 1MDB.

Selain tidak menyebut nama ahli perniagaan dalam buruan itu, Najib juga dikatakan telah meminta saksi supaya tidak menyebut isu sensitif dalam laporan audit itu.

Dakwa Shukry, Najib berkata demikian ketika pertemuannya pada 26 Februari di pejabatnya.

“Pada 26 Februari 2016, saya jumpa Najib di pejabatnya dan Najib arahkan saya, lebih kurang, (kata) macam ini, ‘Shukry, anda beritahu audit agar isu sensitif dan tak relevan seperti Jho Low dalam 1MDB tak dimasukkan dalam laporan’.

“‘Jika pembangkang dapat tahu perkara ini, ia boleh jadi isu’,” katanya ketika membacakan keterangan saksi.

Selepas menerima arahan tersebut, Shukry kemudian menghubungi Pengarah Jabatan Audit Negara ketika itu, Datuk Saadatul Nafisah Bashir Ahmad dan memaklumkan arahan Najib.

Prosiding sedang berlangsung ketika ini dengan mahkamah sedang diperdengarkan rakaman suara berdurasi dua jam 45 minit yang didakwa berkaitan dengan mesyuarat berhubung pindaan 1MDB.

Menerusi rakaman, beberapa suara yang dikenal pasti itu hadir dalam Mesyuarat Pelarasan Laporan Pengauditan 1MDB, pada 24 Februari 2016.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy hadir bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2021.

Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir 1MDB, sebelum diserahkan kepada PAC bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib bagi membantu mengelakkan bekas Perdana Menteri itu dikenakan sebarang tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum, serta denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, atau mana-mana nilai lebih tinggi. – MalaysiaGazette