Polis narkotik Kontinjen IPD Sentul dan IPK KL berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menjadikan Lembah Klang dan Perak sebagai pasaran pengedaran dan jualan dadah selepas menyerbu dan membongkar makmal haram proses dadah di Setiawan Perak 28 September 2021.Gambar Ihsan IPK KL.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah di Lembah Klang dan Perak dalam dalam dua serbuan yang dilakukan pada Selasa dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, pada serbuan jam 2 petang di sebuah pasar raya di Metro Prima, Taman Kepong, di sini, pihaknya menahan dua lelaki yang berusia 46 dan 53 tahun.

“Kedua-dua suspek berperanan sebagai penghantar dan pemproses bekalan dadah tersebut.

“Semasa serbuan dijalankan di pasar raya tersebut salah seorang suspek sedang menolak sebuah troli dan hasil pemeriksaan terhadapnya telah berjaya menemui dadah yang disyaki jenis heroin seberat 1,368 gram atau 1.368 kilogram bernilai RM47,880,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis narkotik Kontinjen IPD Sentul dan IPK KL berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menjadikan Lembah Klang dan Perak sebagai pasaran pengedaran dan jualan dadah selepas menyerbu dan membongkar makmal haram proses dadah di Setiawan Perak 28 September 2021.Gambar Ihsan IPK KL.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas seorang lagi suspek polis menemui pil ekstasi seberat 1.92 gram atau tiga biji pil itu bernilai RM45.

Selain itu, katanya, polis turut menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Mercedes Benz yang digunakan suspek untuk aktiviti pengedaran dadah.

“Hasilnya, berjaya membawa kepada penemuan dadah jenis ekstasi anggaran berat 25 gram atau 91 biji bernilai RM1,365 yang disembunyikan di dalam sebuah speaker di bahagian bonet belakang kereta mewah itu selain turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM 201.

“Kedua-dua suspek kemudian telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum salah seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan AMP serta suspek turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Menurut Sahar, soal siasat ke atas suspek berkenaan dan berpandukan maklumat mereka, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Permatang Maju, Setiawan, Perak pada jam 12.10 tengah malam 29 September 2021.

Katanya, dalam serbuan itu polis mendapati premis digunakan makmal memproses dadah jenis heroin.

“Siasatan awal pihak polis mendapati, rumah tersebut telah disewa selama enam bulan oleh sindiket itu dengan harga RM600 sebulan.

“Pemeriksaan lanjut dalam makmal di rumah itu turut berjaya merampas dadah jenis MDMA anggaran berat 1,271 gram atau 1.2 kilogram bernilai RM63,500, heroin seberat 458 gram bernilai RM 16,030, serbuk putih disyaki dadah seberat 8.829 kg bernilai RM309,015, dua botol cecair Kimia sebanyak 5,255 mililiter dan sejumlah peralatan memproses dadah,” katanya.

Sahar berkata, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 29 September hingga 5 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dalam operasi berkenaan bernilai RM437,835 dan wang sitaan sebanyak RM201. – MalaysiaGazette