Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) @IPT berkemampuan melahirkan usahawan muda berdaya maju dan berdaya tahan tinggi di pasaran sekali gus meringankan beban kewangan usahawan pelajar serta graduan.

KUALA LUMPUR – Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) @IPT berkemampuan melahirkan usahawan muda berdaya maju dan berdaya tahan tinggi di pasaran sekali gus meringankan beban kewangan usahawan pelajar serta graduan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program dilaksanakan secara rintis itu akan melatih 160 graduan Bumiputera dari lapan Institut Pengajian Tinggi (IPT) seterusnya akan dibimbing dan dipantau selama 12 bulan.

“Peserta program ini akan diberikan latihan kemahiran keusahawanan mencakupi bidang pengurusan, kewangan dan pemasaran digital termasuk penyediaan ‘BissCounselor’, memberikan khidmat nasihat pakar berkaitan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Tube 8.0 dan Menandatangani Memorandum Persefahaman Program TUBE@IPT dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Noraini berkata dana sebanyak RM15,000 juga disediakan kepada setiap peserta untuk mereka memulakan perniagaan melalui program tersebut di samping 32 warga IPT akan diberikan latihan berbentuk ‘Training of Trainers (TOT)’ untuk menjadi BissCounselor.

Program TUBE@IPT merupakan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Corp dan IPT.

Noraini berharap program rintis berkenaan akan dapat diperluaskan lagi kepada universiti dan politeknik yang masih belum terlibat pada tahun hadapan.

Beliau berkata kerjasama yang ditumpukan kepada bidang keusahawanan dan kebolehpasaran graduan itu merupakan agenda penting kepada kerajaan khususnya dalam situasi pandemik melanda negara ketika ini.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan lebih 68,000 atau 22.7 peratus pelajar IPT telah direkodkan menjalankan perniagaan dalam tempoh pengajian pada tahun lepas dan 7,564 graduan daripada jumlah tersebut, meneruskan kerjaya mereka sebagai usahawan selepas menamatkan pengajian.

Katanya, dalam mendepani keadaan ekonomi tidak menentu kesan daripada pandemik COVID-19, langkah mitigasi strategik dan perancangan yang teliti amat diperlukan untuk meminimumkan kesan negatif terutama kepada golongan graduan.

Antara ikhtiar dan penyelesaian terbaik dikenal pasti dapat membantu graduan berdepan dengan situasi itu adalah melalui penekanan bidang keusahawanan sebagai pilihan utama pekerjaan mereka.

“Bidang ini bukan sahaja berpotensi besar untuk menawarkan penjanaan pendapatan, bahkan mereka turut boleh menawarkan pekerjaan kepada individu lain atau menjadi job creator sekiranya perniagaan berjaya,” katanya.- BERNAMA