Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berhubung penjualan produk kosmetik yang diharamkan menerusi online. 

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, penguatkuasaan pengharaman produk itu perlu dilakukan segera termasuk mengenakan hukuman denda terhadap penjual.

Jelas beliau, pihak berkuasa juga perlu mengeluarkan senarai produk kosmetik yang diharamkan agar memudahkan orang ramai mengetahui status produk tersebut.

“Berdasarkan tinjauan CAP di platform e-dagang mendapati sembilan krim muka yang dibatalkan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan masih dijual. 

“Selain dijual secara berasingan, krim muka ini juga dijual secara set produk kosmetik lain daripada jenama yang sama seperti sabun dan pelembap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Antara produk diharamkan yang boleh didapati ialah FS Turmeric Cream, Deeja Cosmetic Laila Cream, Deluxe Beauty E Ultra Lightening Cream Pearl Perfect Fairness, Deeja Cosmetics Laika Cream, Dnars Gold Lifthing Serum (Night), Deeja Wrinkle Cream, Fjura- Face Polish Treatment, Dnars Golden Cream dan Sparkle Moon Night Cream. 

Terdapat produk yang diharamkan sejak tahun 2019 berikutan mengandungi merkuri dan bahan kimia berbahaya yang dilarang dalam kosmetik.

Tambah Mohideen, produk kosmetik pencerah kulit yang mengandungi merkuri mendedahkan risiko bahaya kepada pemakainya.

“Merkuri dalam produk pencerah bukan sahaja mampu meresap dalam kulit malah merosakkan buah pinggang dan sistem saraf.

“Keracunan merkuri yang kronik boleh berpunca daripada sentuhan kulit dengan sebatian merkuri dalam tempoh lama selain sakit perut, muntah, mulut berwarna kekelabuan dan cirit-birit berdarah berlaku dalam kes merkuri diserap dengan banyak,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette