KUAL ALUMPUR – inDriver, salah satu aplikasi e-panggilan paling terkenal di dunia telah memulakan operasi secara rasmi di Malaysia dan menawarkan perkhidmatan e-panggilan yang unik di mana penumpang dan pemandu bebas merunding tambang perjalanan.
Perkhidmatan e-panggilan inDriver tersedia di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu.
Syarikat ini merancang untuk melancarkan perkhidmatan di Lembah Klang tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Operasi inDriver, Egor Fedorov berkata, perkhidmatan ini menawarkan perkhidmatan e-panggilan yang unik di mana penumpang dan pemandu bebas merunding tambang perjalanan.
”inDriver percaya perkhidmatan e-panggilan perlu mudah diakses, berkemampuan dan fleksibel. Dengan membolehkan pengguna kami bebas menentukan dan bersetuju dengan terma perjalanan, kami dapat mengatasi algortima digunakan syarikat e-panggilan lain yang meningkatkan harga perjalanan mengikut waktu puncak, keadaan trafik dan sejarah perkhidmatan.
”Ini juga memberikan kebebasan pilihan yang lebih baik kepada pengguna terutama sekali dalam keadaan semasa kita menghadapi cabaran dan ketidakpastian,” tambah beliau.
Aplikasi ini menawarkan fungsi Real-Time Deals (RTD) yang membolehkan penumpang membuat permintaan perjalanan dengan menawarkan tambang yang berpatutan.
Pemandu berdekatan akan menerima notifikasi permintaan tersebut dan mereka bebas untuk menerima tawaran tambang tersebut, melangkau tawaran tersebut atau terus tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang lebih baik.
Katanya, inDriver juga unik kerana penumpang tidak dipadankan dengan pemandu secara automatik. Penumpang akan menerima tawaran balas daripada pemandu berdekatan dan mereka boleh memilih pemandu yang memenuhi kehendak mereka – tambang, penarafan pemandu, jangkaan waktu ketibaan atau model kenderaan.
Sementara itu, bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang, aplikasi inDriver menyediakan fungsi berkongsi lokasi GPS pengguna dan butiran perjalanan dalam masa nyata dengan orang dipercayai.
Selain itu, aplikasi tersebut juga menyediakan butang kecemasan yang akan menghubungkan penumpang atau pemandu terus dengan pihak berkuasa sekiranya menghadapi kecemasan.
inDriver semakin berkembang ke seluruh dunia walaupun menghadapi cabaran getir disebabkan situasi COVID-19 berterusan. Aplikasi e-panggilan unik ini mencatatkan rekod yang membanggakan pada tahun ini, di mana syarikat tersebut menyelesaikan 1 bilion perjalanan di seluruh dunia pada bulan Jun dan melepasi 100 juta muat turun aplikasi di seluruh dunia di platform Android and iOS pada bulan September.
Aplikasi inDriver boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple AppStore, Huawei AppGallery. – MalaysiaGazette