Tan Ying Ming, 54, yang beralamat di Subang Jaya, Selangor, mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kereta Toyota Innova yang dipandunya hangus terbakar.

IPOH – Seorang pemandu teksi maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan termasuk dua lori di KM 316.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tapah, awal pagi tadi.

Pada kejadian tersebut, Tan Ying Ming, 54, yang beralamat di Subang Jaya, Selangor, mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kereta Toyota Innova yang dipandunya hangus terbakar.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kemalangan kira-kira pukul 4.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila Tan, yang dipercayai dalam perjalanan mengambil penumpang di Ipoh dari Kuala Lumpur, melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa buah-buahan yang menuju ke arah yang sama di lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, kereta yang dipandu mangsa telah terbabas ke lorong kanan sebelum dilanggar oleh sebuah lagi lori membawa muatan ayam, sehingga menyebabkan mangsa tercampak keluar daripada keretanya dan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah manakala kedua-dua pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

— BERNAMA