Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada asasnya berperanan sebagai mekanisme strategik kerajaan untuk memulihkan negara dan memastikan rakyat dapat menikmati hidup yang lebih baik.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Mohamed Aris berkata, ini kerana pandemik ketika ini telah menjejaskan kehidupan rakyat dan pasaran kerja juga terkesan apabila golongan profesional telah menceburi sektor informal untuk kelangsungan hidup.

Beliau mempersoalkan bagaimana nasib golongan B40 yang bekerja dalam sektor itu dan mampukah mereka bersaing dengan golongan profesional dalam satu sektor yang sama.

“Pandemik ini turut menyebabkan peningkatan golongan B40 di Malaysia dan pengangguran khususnya dalam kalangan belia.

“Sebab itu RMK-12 ini memainkan peranan penting dalam memulihkan semula sosioekonomi rakyat dan mewujudkan persekitaran ekonomi yang mampu meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya hari ini.

Najmil Faiz yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu berkata, antara fokus utama RMK-12 adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pemangkin pertumbuhan dab meeningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Jelas beliau lagi, rancangan lima tahun itu juga untuk memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan
selain memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia

“RMK-12 juga bakal melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri urang membangun, mempercepat pertumbuhan hijau serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan,” katanya.

“Fokus utama RMK-12 ini adalah selari dengan keperluan negara dan rakyat pada hari ini iaitu memerlukan sebuah kerajaan yang bersifat inklusif serta melaksanakan dasar yang meliputi semua aspek kehidupan.

“Insya-Allah kehidupan kita akan lebih baik dan mempunyai masa depan yang lebih cerah dengan adanya pelan strategik pemulihan jangka masa panjang ini.

Terima kasih YAB Perdana Menteri kerana mendengar suara dan pendapat rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast