tiga suspek termasuk wanita tempatan ditahan aktif menjual dadah di sekitar sentul sejak Jun lalu dalam tiga kawasan berlainan di Jinjang, Kepong semalam.Gambar Ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penjualan dadah yang didalangi tiga individu dalam serbuan berasingan di sekitar Jinjang, di sini, semalam

Suspek-suspek itu disyaki mengedar dadah bergerak secara solo bersama dengan mambawa paket kecil itu aktif menjalankan kegiatan tersebut di kawasan Sentul sejak Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat pada jam antara 3,30 petang hingga 4.40 petang semalam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul telah menahan dua lelaki dan seorang perempuan.

“Kesemua suspek berusia antara 48 hingga 57 tahun dan dicekup dalam serbuan berasingan di sekitar kawasan Jinjang setelah disyaki terlibat dalam kegiatan mengedar dadah di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan di tubuh badan ketiga-tiga suspek polis berjaya menjumpai dadah jenis heroin seberat 18.40 gram, 18.48 gram dan 19.30 gram dipercayai untuk dijual kepada pelanggan di kawasan tersebut.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM43 disyaki hasil jualan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya nilai rampasan dadah berkenaan adalah berjumlah RM2,009.30.

Tambah beliau, kesemua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan hasilnya ketiga-tiga mereka disahkan positif morfin, amphetamine dan methaphetamine.

“Semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 26 rekod jenayah dadah, suspek kedua memiliki 10 rekod jenayah dadah dan suspek ketiga mempunyai 12 rekod jenayah dadah lampau,” ujarnya.

Eng Lai berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 8 Oktober ini untuk membantu siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Katanya, tangkapan berkenaan membantu polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah sekitar Sentul.

Tambah beliau, suspek mengaut keuntungan RM10 untuk setiap gram dadah yang diedarkan dan jumlah rampasan boleh dibekalkan kepada 113 pengguna dadah. – MalaysiaGazette