Rosmah Mansor

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak yang dihadapinya.

Sebaliknya isteri bekas Perdana Menteri itu akan memberi keterangan bela diri bagi tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Tiga panel hakim yang bersidang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said memutuskan tiada keadaan luar biasa untuk perbicaraan itu ditangguhkan.

Selain Kamaludin, dua lagi hakim ialah Datuk Seri Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

Sebaliknya tiga hakim itu sebulat suara memutuskan mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Kamaludin berkata,: “Perbicaraan tetap boleh diteruskan sekalipun ada rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi oleh Rosmah sebelum ini,”.

Rosmah sebelum ini memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya bagi mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram setelah pendakwaan bersetuju menyerahkan salinan itu kepada pembelaan.

Beliau mengemukakan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lalu menolak permohonannya bagi mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018 iaitu hari Rosmah didakwa di mahkamah serta tidak ditandatangani Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas tetapi surat itu telah ditandatangani oleh Tan Sri Idris Harun. – MalaysiaGazette