Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasturi Patto.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Rina Harun didakwa tidak pernah mengadakan perbincangan dengan pembangkang atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengukuhkan lagi Rang Undang Undang (RUU) Akta Gangguan Seksual.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, RUU Akta Gangguan Seksual yang sepatutnya sebelum ini dibentang agar wanita dan lelaki akan mendapat pembelaan dan keadilan.

“Akta ini sudah lebih 20 tahun menunggu masa untuk dibentangkan di Parlimen. Kandungan draf RUU Akta Gangguan Seksual sudah siap untuk dibentangkan oleh Pakatan Harapan.

“Tetapi Langkah Sheraton telah berlaku dan RUU tersebut, sama ada kandungan RUU tersebut watered down atau elemen-elemen penting dikeluarkan atau tidak,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Kasthuri, saranan menteri untuk membuat laporan daripada menunggu RUU Akta Gangguan Seksual sungguh tidak bertanggungjawab dan mencerminkan beliau kurang arif dalam isu.

“Jika beliau ada bersembang dengan mangsa gangguan seksual, beliau akan sedia maklum bahawa tangan pihak polis terikat kerana jenayah ini sukar untuk didakwa mangsa dan pemangsa.

“Saya ingin kepastian daripada pihak kerajaan untuk satu taklimat diadakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau pejabat Peguam Negara untuk mengadakan satu sesi rundingan.

“Ia harus dilakukan bersama semua ahli Parlimen termasuk pembangkang dan yang Bebas untuk memperhalusi kandungan akta ini yang dikatakan berbeza daripada apa yang telah wujud oleh Pakatan Harapan sebelum Langkah Sheraton berlaku dan kerajaan bertukar tangan sebelum pembentangannya tahun ini,” jelasnya.

Katanya lagi, sudah menjadi tanggungjawab seorang menteri untuk menuntut dan melobi dalam kalangan jemaah Kabinet, Perdana Menteri, Peguam Negara dan bersama ahli Parlimen backbencher dan pembangkang agar mana-mana RUU yang progresif dan untuk kebaikan masyarakat sejagat harus dipercepatkan pembentangannya di Parlimen.

“Tidak guna bertanya ‘saya menteri atau kamu menteri’ jika kami ahli Parlimen pembangkang masih mengajar menteri menjalankan tanggungjawab dan menggalas amanah rakyat walaupun wujud elemen-elemen penebukan atap dan sebagainya.

“Pada muka surat 233 RMK-12 mengandungi bahagian untuk mempertingkat perlindungan undang-undang iaitu isu keselamatan dan perlindungan wanita akan terus ditangani dengan memperkukuh undang-undang sivil dan syariah serta meningkatkan program kesedaran dan intervensi mengenai hak wanita.

“Perundangan bagi menangani gangguan seksual dan ketidaksamaan gender akan diperkukuh untuk memastikan persekitaran yang selamat bagi wanita serta menghapus keganasan terhadap wanita dan diskriminasi gender,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak kerajaan perlu walk the talk dalam isu penganugerahan kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu-ibu warganegara Malaysia di luar negara yang menghadapi diskriminasi berbanding dengan penganugerahan automatik oleh si bapa berbanding dengan si ibu.

“Apakah tujuan sebenar Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya pihak kerajaan dapat memproses dan menganugerahkan kerakyatan kepada anak-anak ini?

“Tiada erti laungan kosong ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri jika beliau sendiri tidak berusaha untuk memastikan tafsiran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan mengambil kira masa depan anak-anak Malaysia ini,” katanya.- MalaysiaGazette