Datuk Hasni Mohamad

JOHOR BAHRU – Pertambahan kes Covid-19  di Singapura tidak menjadi penghalang kepada perbincangan pembukaan semula sempadan Malaysia dengan negara jiran itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamad berkata, pihaknya tidak nampak ia akan menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk membincangkannya.

“Ini kerana pada awal dahulu apabila Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) tangguh atau Peraturan Ulang Alik Berkala (PCL) tidak dilaksanakan kerana waktu itu kita menunggu kaedah-kaedah bagi berdepan Covid-19 ini tetapi kini adanya pelbagai vaksin.

“Saya difahamkan Singapura pun sudah memikirkan dos ketiga dan mula berkempen iaitu difahamkan adanya kit ujian asas, tambahan dengan adanya langkah-langkah awalan, kes meningkat atau menurun tidak menjadi penghalang kepada perbincangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Johor Tourism Interchange (JTI) dan Virtual Majestic Johor Week, hari ini.

Pada peringkat jawatankuasa teknikal, kata Hasni, perkara itu sudah dipersetujui dengan penelitian prosedur operasi standard (SOP) yang dihantar kerajaan negeri.

Katanya, Kementerian Kesihatan sebagai sekretariat kepada barisan menteri akan menetapkan tarikh untuk pembentangan pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

Sebelum ini, kerajaan Pusat dilaporkan bersetuju untuk membabitkan Johor secara langsung dalam jawatankuasa teknikal membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Hasni berkata, ianya juga telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan lawatan kerja sehari ke Johor baru-baru ini.

Pada 7 September lalu ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Hasni meminta wakil kerajaan negeri disenaraikan dalam jawatankuasa khas perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.- MalaysiaGazette