M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia berjaya menyelamatkan nasib 2.9 juta pekerja di negara ini sejak pandemik Covid-19 bermula.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata,  peruntukan khas yang diberikan secara berperingkat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bukan hanya kepada pekerja malah dapat menyelamatkan syarikat-syarikat daripada gulung tikar.

“Saya dengan bangganya menyatakan kita berjaya selamatkan mereka ini. Kalau orang tanya apa legasi saya sebagai Menteri Sumber Manusia, inilah yang telah dilakukan.

“Ini adalah pendekatan yang cukup baik. Dengan kadar pengangguran 4.8 peratus atau 700,000 orang, jika tanpa peruntukan khas ini mungkin 2.9 juta nasib pekerja tidak dapat pembelaan.

“Inilah hasil atau impak positif daripada peruntukan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH) berkaitan peruntukan khas yang diterima kementerian itu di bawah kumpulan wang Covid-19 di mana subsidi upah dan insentif perbelanjaan menelan RM18 bilion serta peluang pekerjaan kepada 500,000 yang terkesan sejak pandemik di Parlimen hari ini.

Saravanan berkata, bagi 500,000 peluang pekerjaan, ia adalah di bawah Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini adalah usaha sama pelbagai agensi terdiri daripada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan sebagainya.

“Berkaitan tempoh berapa lama mereka yang tiada pekerjaan akan diserap kepada mana-mana sektor pekerjaan, ia bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa,” jelasnya.

Terdahulu, Saravanan menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN) yang ingin tahu berapakah jumlah penganggur yang dicatatkan pada tahun 2021 serta apakah perancangan kementerian dalam memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan bagi mengurangkan kadar pengangguran.

“Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada suku kedua tahun 2021, kadar pengangguran adalah sebanyak 4.8 peratus iaitu seramai 768,700 orang.

“Bagaimanapun, pada Julai 2021, terdapat peningkatan bilangan penganggur seramai 9,500 orang menjadikan jumlah penganggur bersamaan dengan 778,200 orang.

“Dalam usaha memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan bagi mengurangkan kadar pengangguran, kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran pewujudan 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat,” kata Saravanan.

Jelas beliau lagi, di bawah Majlis Pekerjaan Negara, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama bagi Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan.

“Pasukan Petugas Khas ini memainkan peranan yang amat penting dalam menyokong peranan Majlis Pekerjaan Negara melalui beberapa objektif utama iaitu meningkatkan penciptaan pekerjaan, memaksimumkan tahap pengekalan pekerjaan dan membuat padanan pekerjaan secara komprehensif bagi mengatasi isu tiada pekerjaan serta mengkaji serta merangka mekanisme perlindungan keselamatan sosial bagi pekerjaan sendiri.

“Sehingga 31 Ogos 2021, Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan telah mencapai KPI sebanyak 98 peratus iaitu 359,677 daripada sasaran 367,500 bagi penempatan pekerjaan dan penciptaan pendapatan,” jelasnya.

Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso turut memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Perkeso terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

“Elaun sekurang-kurangnya RM300 akan diterima apabila mereka mendaftar di bawah platform MyFutureJobs.

“Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta, skop insentif turut diperluaskan oleh Perkeso meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig yang memanfaatkan 60,000 pekerja dan majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan Perkeso.

“Selain itu, sejumlah RM125 juta turut diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah Program Janapreneur Pembangunan Sumber Manusia Berhad. Inisiatif ini akan membuka peluang kepada 30,000 terutama belia lepasan sekolah dan graduan untuk mengikuti program latihan dengan jaminan pekerjaan setelah tamat Latihan,” katanya.

Saravanan berkata, melalui agensi-agensi di bawah kementeriannya sentiasa berusaha meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran bakat melalui pelbagai platfom seperti program UpskillMalaysia di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 562 buah Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).- MalaysiaGazette