Tempoh tahanan reman ke atas seorang pengurus pusat interversi yang disyaki memukul seorang kanak-kanak autisme Ampang pada Jumaat lalu telah dilanjutkan selama tiga hari lagi.

KUALA LUMPUR – Tempoh tahanan reman ke atas seorang pengurus pusat interversi yang disyaki memukul seorang kanak-kanak autisme Ampang pada Jumaat lalu telah dilanjutkan selama tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek warga asing itu telah dihadapkan ke mahkamah Majistret Ampang pagi ini untuk perintah melanjutkan reman terhadapnya.

“Mahkamah yang meneliti permohonan polis membenarkan suspek berusia 51 tahun itu direman selama tiga hari lagi sehingga 8 Oktober ini,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tambah Mohamad Farouk, selepas ini polis akan melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut dengan cadangan pendakwaan di mahkamah.

Dalam kenyataan semalam, Mohamad Farouk mengesahkan setakat ini tiga individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan dalam membantu siasatan kes ini.

Setakat semalam dua saksi kejadian telah memberi kerjasama hadir dan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.

Pada kejadian pada Jumaat lalu, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang juga bapa kepada kanak-kanak itu telah menghantar anaknya ke pusat berkenaan sekitar pukul 8.45 pagi.

Menurut beliau, bapa kanak-kanak berusia enam tahun sembilan bulan itu kemudian menjemput anaknya pulang pada pukul 12.45 tengah hari dan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan kedua-dua belah mata.

“Salah seorang guru di pusat berkenaan memaklumkan kepada pengadu ada kesan kemerahan pada tepi dahi kiri anaknya dan mendakwa mangsa telah menghantukkan kepala pada meja atas alasan tidak mahu makan.

“Akibat curiga, pengadu telah melihat rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mendapati suspek bertindak agak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan.

“Pengadu juga ada bertanya kepada anaknya mengenai situasi yang berlaku namun tiada jawapan dari mangsa,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad lalu.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa telah dihantar ke pusat berkenaan sejak lapan bulan yang lalu.

Kata beliau, suspek yang merupakan wanita warga asing berusia 51 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah di pekarangan Pejabat Siasatan Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya sekitar pukul 1.50 pagi Sabtu lalu sebelum direman untuk membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette