Tempoh tahanan reman ke atas seorang pengurus pusat interversi yang disyaki memukul seorang kanak-kanak autisme Ampang pada Jumaat lalu telah dilanjutkan selama tiga hari lagi.

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan dalam kes seorang kanak-kanak autisme dipukul di sebuah pusat asuhan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam perkembangan terkini siasatan kes terbabit, dua saksi telah hadir ke balai dan sudah dirakam percakapan.

“Kes masih lagi dalam siasatan sementara kertas siasatan apabila dilengkapkan nanti akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya secara ringkas dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seorang wanita warga asing telah ditangkap oleh polis selepas disyaki terlibat dalam kes seorang kanak-kanak autisme dipukul di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Mohamad Farouk dalam satu kenyataan semalam juga memaklumkan suspek merupakan pengurus di pusat asuhan kanak-kanak tersebut.

“Siasatan awal dijalankan mendapati kejadian disedari pada Jumaat ketika bapa mangsa hendak mengambil anaknya yang berumur enam tahun kira-kira jam 12.45 tengah hari di pusat asuhan kanak-kanak itu.

“Bapa mangsa mendapati terdapat melihat kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan kesan lebam pada bahagian mata kanan dan kiri anaknya,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, salah seorang guru di pusat berkenaan mendakwa mangsa telah menghantuk kepala pada meja atas kerana tidak mahu makan.

“Curiga dengan keadaan anaknya itu, bapa mangsa kemudiannya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan mendapati suspek bertindak agak kasar dengan mangsa apabila mangsa mengelak untuk makan.

“Bapa mangsa juga ada bertanya kepada mangsa apa yang terjadi tetapi tiada jawapan daripada mangsa,” katanya.-MalaysiaGazette